LOKASI
 
Kg. Felda Pasak berada dalam Daerah Kota Tinggi dan jaraknya hanya 8 km dari bandar Kota Tinggi. Kota Tinggi merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor . Bandar Kota Tinggi terletak di muara Sungai Johor. Jarak Kota Tinggi lebih kurang 40 km dari bandaraya Johor Bahru. Keluasan Daerah Kota Tinggi ialah 3,488.7 kilometer persegi. Aktiviti ekonomi utama bagi daerah ini ialah perladangan seperti kelapa sawit dan pertanian.
 
 
SEJARAH PASAK 
 
Sejarah bermula dari tarikh kejatuhan negeri Melaka pada 1511. Peristiwa kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka yang terkenal sebagai pusat perdagangan dan menjadi tumpuan para ilmuan akibat serangan Portugis, telah menyebabkan sultan yang memerintah pada waktu itu iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah II (1528 – 1564 Masihi) meninggalkan negeri dan berundur  ke Johor sekitar tahun 1600 Masihi. Untuk mengelakkan diri dari serangan musuh, Sultan Alauddin dan para pengikutnya mudik ke Sungai Johor dengan tujuan untuk mendirikan pusat pemerintahan yang baru. Ketika mula meneroka, mereka mendapati Kota Tinggi sangat sesuai dijadikan kawasan penempatan serta pusat pemerintahan yang baru.
Walau bagaimanapun,  pusat pemerintahan yang baru dibina itu sering berpindah-randah kerana mengelak daripada serangan Portugis dan juga orang Acheh yang sangat handal. Pihak musuh mempunyai armada laut yang besar beserta kelengkapan perang yang lengkap. Angkatan ini telah diketuai oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1606 – 1636 Masihi) yang gagah perkasa. Dalam mendirikan pusat pemerintahan yang baru, selain Kota Tinggi, kota yang lain juga turut binasa oleh serangan Acheh. Kota-kota tersebut adalah Kota Seluyut dan Kota Johor Lama yang dibina sepanjang Sungai Johor.
Sewaktu mendirikan kota ini, banyak kayu keras bermutu tinggi digunakan untuk membina istana, rumah para pembesar negeri dan rakyat jelata. Proses pembinaan istana dan rumah selain memerlukan kayu yang baik, sudah tentu memerlukan baji (pasak) yang keras supaya bangunan lebih teguh dan kukuh binaannya.  Pasak bererti baji (paku) yang diperbuat daripada kayu untuk memantapkan sesuatu binaan atau peralatan.
Kota Tinggi pada awalnya dipenuhi hutan rimba yang kaya dengan kayu-kayu keras bermutu tinggi. Di sinilah kayu-kayu untuk membina istana dan penempatan diperolehi. Pasak kayu kemudiannya digunakan untuk mengetatkan bahagian-bahagian bangunan yang didirikan agar tidak mudah goyah atau musnah. Disamping itu, kayu-kayu ini turut digunakan untuk membuat sampan, bahtera dan kapal bagi tujuan pengangkutan dan peperangan. Di sebabkan oleh kelebihan kayu keras bermutu tinggi yang dimilikinya, maka kawasan ini telah dikenali sebagai pusat pengambilan kayu pasak sehingga terkenal dengan panggilan PASAK pada masa tersebut.
Fakta ini disokong dengan kewujudan satu kawasan di tepi sungai di Kota Tinggi yang dikenali sebagai POTONG KAYU. Kawasan ini menganjur dari jeti yang ada sekarang sehingga ke Tanjung Sebadam. Disinilah kayu-kayu dikumpul, dibelah untuk membina sampan, bahtera dan kapal bagi kegunaan penduduk tempatan pada waktu itu.
Bersempena dengan wujudnya kawasan yang terkenal dengan kayu keras bermutu tinggi yang dikenali sebagai pasak, telah diwujudkan sebuah kawasan ladang yang dipanggil Estet Pasak. Rentetan itu, sebuah lagi ladang dibuka pada tahun 1962 bersebelahan dengan Pasak Estate yang diberi nama Felda Pasak sehinggalah tahun 2001, ia diserapkan sebagai kampung membawa gelaran Kampung Felda PASAK.
 
Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga,Dewan Bahasa dan pustaka  halaman 982…
Pasak bermaksud 
1.baji(paku) daripada kayu untuk mengetatkan sesuatu 
2.pasak merah-sejenis tumbuhan (pokok) ,balau,keranji,merlimau,temilangAglaia Odoratissma  
 
Sumber Rujukan 
Encik Musa Bin Mahmood -Pengerusi Persatuan Sejarah Kota Tinggi
Encik Mustafa bIn Abu Bakar -AJK Persatuan Sejarah Kota Tinggi 
En Supian Bin Laton -Pengumpul Maklumat 
Sejarah Melayu
Sejarah Asia Tenggara
Internet-Laman web sejarah